Thursday, August 20, 2009

Kisah Benar:Ditipu Buaya Darat

My Metro-17 Julai 2009

SAYA balu berusia 27 tahun dan ada seorang anak. Arwah suami saya meninggal dua tahun lalu akibat penyakit asma. Sebagai manusia biasa saya reda dengan ujian Allah ini dan sedaya upaya membina kehidupan sendiri selepas kematian suami.

Saya ada niat untuk mencari pengganti demi kebaikan anak dan saya sendiri tapi malangnya saya selalu berjumpa dengan orang yang salah. Baru-baru ini saya berkawan dengan seorang lelaki. Permulaan perkenalan dia bersungguh untuk memperisterikan saya. Walaupun tahu dia sudah beristeri, kasih sayang yang mendalam terhadapnya menyebabkan saya selalu memberi bantuan kewangan kepadanya.

Satu hari dia memberitahu yang dia benar-benar ingin mengambil saya sebagai isteri tetapi usahanya untuk mengumpul wang kahwin kami sering gagal. Dia minta bantuan saya untuk membuat pinjaman bank.

Saya memberinya syarat jika dia benar-benar ikhlas, temukan saya dengan isterinya untuk saya memastikan isterinya memberi persetujuan. Saya dipertemukan dengan isterinya dan memang benar isterinya ikhlas menerima saya sebagai madunya.

Saya kemudian membuat pinjaman bank dan memberi semua wang itu kepada kekasih saya untuk belanja perkahwinan kami. Bagaimanapun, dengan tiba-tiba dia memberitahu yang dia ada masalah kesihatan dan sejak itu dia seolah-olah semakin dingin serta cuba menjauhkan diri daripada saya.

Mungkin Tuhan hendak tunjukkan, satu hari seorang rakan memberitahu siapa kekasih saya itu sebenarnya. Rupa-rupanya dia kasanova popular. Dia selalu bertukar pasangan dan banyak hubungan sulit termasuk isteri orang.

Betapa hancurnya hati saya. Lalu saya menemui isterinya untuk kepastian. Isterinya mengesahkan sikap buruk suaminya itu dan memberitahu dia mengizinkan kami berkahwin kerana berharap saya dapat mengubah sikap suaminya menjadi lebih baik.

Malah, dia sendiri tidak menyangka suaminya mempermainkan saya. Hubungan saya dengan isterinya menjadi rapat dan dia sering mengadu masalah berkaitan suaminya kepada saya.

Kini, saya amat tertekan kerana terpaksa menanggung hutang bank sedangkan kekasih saya berseronok dengan wang saya itu. Sebenarnya saya juga sudah terlanjur dengannya kerana terpedaya dengan kata manisnya.

Saya amat menyesal dengan perbuatan saya. Selepas memutuskan hubungan, saya bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Namun, keyakinan saya untuk teruskan hidup seolah-olah tiada sekarang.

No comments:

Post a Comment